SELANGOR

PRK DUN Balakong 8 September, kempen 21 hari

PUTRAJAYA 30 JUL: Tarikh mengundi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong ditetapkan pada 8 September ini, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Tan Sri Othman Mahmood.

Sementara itu, penamaan calon pula ditetapkan pada 18 Ogos dengan jumlah pengundi berdaftar di DUN Balakong adalah 62,219 orang.

SPR menetapkan tempoh kempen selama 21 hari selaras dengan tuntutan yang dibuat badan reformasi pilihan raya, BERSIH.

Ini bermakna ia merupakan antara tempoh kempen terpanjang yang ditetapkan untuk pilihan raya kecil setakat ini.

SPR menetapkan kesemua calon akan memfailkan pencalonan mereka pada 18 Ogos di dewan Pejabat Daerah Hulu Langat.

“Beberapa penambahbaikan akan dilakukan dalam PRK kali ini termasuk waktu mengundi iaitu bermula pukul 8 pagi hingga 5.30 petang selain penambahan saluran kepada pengundi berumur 60 tahun ke atas,” katanya dalam sidang akhbar PRK DUN Balakong di sini hari ini.

Menurut Othman, pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim pada Jumaat lalu berhubung dengan kekosongan kerusi DUN itu.

Katanya, pemakluman itu ekoran kematian penyandang kerusi DUN berkenaan iaitu mendiang Ng Tien Chee pada 20 Julai lalu dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 11.7 Lebuhraya Grand Saga.

Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, Tien Chee berjaya mengekalkan kerusi DUN Balakong untuk penggal kedua selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan PAS dengan majoriti 35,538 undi.


Pengarang :