SELANGOR

PRK Sungai Kandis: KEADILAN Negeri siap siaga

OLEH AFIX REDZUAN

SUNGAI KANDIS, 13 JUL: Jentera KEADILAN sudah mula digerakkan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis yang bakal berlangsung 4 Ogos depan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau sudah bermesyuarat dengan KEADILAN cabang Kota Raja dan menyerahkan kepada pimpinan diperingkat Pusat untuk membuat keputusan khususnya mengenai senarai calon yang dikemukakan.

“Kita sudah mula mengaktifkan semua cabang dan aktivis di sini. Minggu hadapan saya akan bertemu pimpinan tempatan.

“Diharapkan sebelum hari penamaan calon kita akan dapat melancarkan jentera pilihan raya.

“Kita sudah mengemukakan pandangan dan terpulang kepada penilaian pusat. Di pihak saya sekarang menumpukan kepada bagaimana menggerakkan operasi seperti yang dilakukan lima bulan lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sejurus selesai Majlis Penyerahan Insentif Haji Muassasah Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dan Majlis Mesra Rakyat Aidilfitri yang berlangsung di Masjid An-Naim, Kampung Batu 7, Jalan Kebun, semalam.

Menurutnya, soal calon tempatan yang meniti di bibir penduduk juga turut diberikan penilaian setiap kali menghadapi PRK selain memastikan calon ditampilkan mempunyai kriteria boleh menang tanpa mengira soal gender.

Pada 9 Julai lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Ogos depan sebagai hari mengundi manakala penamaan calon diadakan pada Sabtu, 21 Julai bagi PRK Sungai Kandis.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada PRU ke-14, Mat Shuhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

 


Pengarang :