SELANGOR

PRK Sungai Kandis: MB ‘lucu’ Lokman calon BN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 22 JULAI: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari ‘geli hati’ apabila dimaklumkan Barisan Nasional (BN) menamakan Datuk Lokman Noor Adam sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Hal itu katanya, Lokman dianggap sebagai individu yang cukup dikenalinya dalam arena gelanggang politik negara.

“Saya tertawa bila Lokman menjadi calon. Sebab apa, saya kenal saudara Lokman ini. Bukan saya sahaja tetapi rakan pimpinan negeri lain juga kenal dengan beliau.

“Dulu bertanding di peringkat Cabang Umno Sri Gading (Johor) pun kalah, inikan pula di Selangor.

“Umno sudah tiada calon lain agaknya,” sindirnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bilik Gerakan Utama KEADILAN DUN Sungai Kandis, petang ini.

Lokman sebelum ini dikenali sebagai individu yang lantang mengkritik pelaksanaan dasar baru yang diwujudkan Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN), di Putrajaya.

Bagaimanapun, di peringkat akar umbi Umno, kekalahan beliau pada pemilihan Cabang Sri Gading membuktikan dirinya hilang sokongan parti berkenaan.

Pada masa sama, Amirudin berkata, PAKATAN menerusi calon KEADILAN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni disifatkan sebagai calon pimpinan terbaik untuk warga Sungai Kandis.

Beliau optimis pelbagai perubahan dasar di peringkat Kerajaan Negeri akan diteruskan ke Sungai Kandis oleh calon wakil rakyat itu.

“Dasar Inisiatif Peduli Rakyat yang diwujudkan sejak bertahun dahulu dijamin akan terus konsisten dan dijayakan dengan baik jika Ustaz Mohd Zawawi diberi mandat serta kepercayaan menjadi wakil rakyat Sungai Kandis,” katanya.


Pengarang :