NASIONAL

PRK Sungai Kandis: SPR buat penambahbaikan

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 9 JULAI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan beberapa penambahbaikan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil N49 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis yang bakal berlangsung, pada 4 Ogos ini.

Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Othman Mahmood berkata, SPR mewujudkan dua saluran bagi pengundi berumur 60 tahun dan ke atas serta memanjangkan tempoh pengundian selama setengah jam.

“Tempoh masa pengundian dipanjangkan dari jam 8 pagi sehingga 5.30 petang, berbanding 5 petang sebelum ini.

“Penambahan ini dibuat selepas mengambil kira aduan dan teguran diterima dari sesetengah tempat kerana ada pengundi tidak sempat masuk ke tempat pengundian sebelum ini.

“Kita akan tengok jika kesesuaian ini perlu, kita akan teruskan atau tambah baik pada masa akan datang,” katanya.

SPR turut menambah saluran mengundi di pusat mengundi yang mempunyai pengundi ramai.

Katanya, penambahbaikkan ini diharap dapat mengurangkan kesesakan di tempat mengundi dan memberi keselesaan kepada pengundi menunaikan tanggungjawab.

“Sebanyak 21 saluran baharu diwujudkan bagi mengelakkan pengundi terlalu ramai di satu saluran menjadikan keseluruhan 109 saluran, berbanding 88 saluran pada Pilihan Raya Umum ke-14,” katanya.

Selain itu, SPR mengajak badan bukan kerajaan yang berminat untuk menjadi pemerhati sepanjang perjalanan proses PRK bermula dari hari penamaan calon, pada 21 Julai ini sehingga pengumuman keputusan pilihan raya, pada 4 Ogos 2018.

“Kepada NGO yang berminat untuk menjadi pemerhati, mereka boleh mengemukakan permohonan kepada SPR dan tarikh tutup sebagai Pemerhati Tempatan ialah pada 16 Julai 2018,” katanya.


Pengarang :