SELANGOR

PRK Sungai Kandis: SPR nasihat penyokong patuh arahan

SHAH ALAM, 21 JUL: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan penyokong parti tidak melakukan perkara yang tidak diingini sekali gus melanggar undang-undang pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, hari ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, SPR juga sudah menyediakan 100 keping pas kepada penyokong setiap parti bagi membolehkan mereka masuk ke perkarangan pusat penamaan calon untuk menyatakan sokongan kepada calon masing-masing.

“Penyokong yang tidak mempunyai pas sama sekali kami tidak akan benarkan memasuki perkarangan pusat pengundian ini bagi memastikan kelancaran proses penamaan tersebut,” katanya selepas meninjau persiapan petugas SPR di pusat penamaan calon di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Seksyen 19, semalam

Dalam pada itu, Othman berkata beliau berpuas hati dengan persiapan dilakukan petugas SPR untuk penamaan calon pagi ini.

“Semua alatan dan hal-hal yang berkaitan untuk penamaan calon telah pun disempurnakan dan buat masa ini juga SPR hanya menerima dua calon sahaja dari dua parti yang akan bertanding… apa pun kami harap calon yang akan bertanding itu dapat mengemukakan borang pencalonan masing-masing sebelum 10 pagi,” katanya.

SPR sebelum ini menetapkan hari mengundi bagi PRK DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos ini, manakala hari penamaan calon ditetapkan hari ini.

PRK Sungai Kandis menyaksikan Calon KEADILAN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, 48, bakal berdepan Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Noor Adam, 45, yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya, Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada PRU-14, Shuhaimi memperoleh sebanyak 23,998 undi, mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518 undi), calon PAS Mohd Yusof Abdullah (7,573 undi) dan Hanafiah Husin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang mendapat 76 undi.


Pengarang :