SELANGOR

PRK Sungai Kandis: Zawawi mahu banteras gejala sosial

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 JUL: Calon Pakatan Harapan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis terus komited memastikan gejala sosial, terutama penyalahgunaan dadah dibanteras, di kawasan berkenaan.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang juga pengasas Darul Solihin berkata, pihaknya akan membawa isu itu kepada Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi mencari penyelesaian jika diberi mandat.

Katanya, selain penyalahgunaan dadah, masalah hamil luar nikah dan mental membabitkan pelbagai lapisan usia turut berlaku dan perlu dikawal.

“Di DUN ini, Darul Solihin adalah pertubuhan bukan kerajaan yang membuka pusat pemulihan akhlak dan rumah perlindungan untuk golongan bermasalah, termasuk berkaitan dadah.

“Apa yang penting adalah memastikan gejala tidak sihat seumpama itu, terutama membabitkan belia belasan tahun dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya selepas melawat Pusat Pemulihan Dadah Persendirian Darussolihin, di Jalan Kebun, di sini.

Hadir sama, pengasas merangkap Mudir pusat itu, Hairul Mohit dan warden Mohd Ridzuan Samsudin.

Sementara itu, Mohd Ridzuan berkata, pusat itu memerlukan bantuan dana bagi menguruskan 76 penghuni berusia 13 hingga 63 tahun yang kini menelan belanja RM15,000 sebulan.

“Di sini, penghuni menjalani pemulihan sekurang-kurangnya dua tahun dan melakukan pelbagai aktiviti, termasuk perniagaan seperti ayam penyet dan bertukang sebagai sumber pendapatan,” katanya.

 

 


Pengarang :