SELANGOR

PRK Sungai Kandis: Zawawi perjuang hak semua rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 31 JUL: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menegaskan, perjuangan membela rakyat tanpa mengira bangsa menjadi teras perjuangannya sebagai pemimpin politik.

Jika diberi mandat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), pada 4 Ogos ini, beliau mengulangi ikrar menggalas tanggungjawab sebaik mungkin untuk semua pihak, di DUN berkenaan.

“Saya komited untuk memastikan segala bantuan diterima selama ini dapat terus dinikmati pengundi, di sini,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua program Kerajaan Negeri termasuk Inisiatif Peduli Rakyat tidak menjadikan perbezaan kaum sebagai asas pertimbangan sebelum sesuatu bantuan diberikan.

“Ini kelebihan pentadbiran negeri diterajui PAKATAN yang sentiasa menitikberatkan keadilan kepada semua rakyat tanpa batas bangsa, agama dan budaya.

“Sebagai contoh, Kerajaan Negeri tidak pernah meminggirkan bantuan pendidikan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan India kerana rakyat memberi mandat serta kuasa yang harus disantuni dengan adil,” katanya.

Mohd Zawawi berkata, kepelbagaian bangsa, agama dan budaya sudah lama menjadi aset berharga di Selangor dan negara, maka semua pihak bertuah kerana dapat mengenali serta hidup dalam suasana harmoni juga memahami.

“Suka saya mengingatkan, mengekalkan keharmonian hidup dalam kalangan masyarakat pelbagai bangsa seperti kita lalui selama ini adalah salah satu perjuangan utama saya sebagai pemimpin politik.

” Malah, KEADILAN dan kerajaan PAKATAN juga sentiasa menjadikan agenda perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk sebagai teras perjuangan parti,” katanya.


Pengarang :