NASIONAL

Projek Media City dijangka siap Jun 2020

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 JUL: Pembangunan Media City yang diilhamkan Kerajaan Persekutuan sejak 2009 dijangka siap sepenuhnya pada 11 Jun 2020 dan kini berjalan mengikut sasaran ditetapkan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, projek ini terbahagi kepada tiga komponen utama dengan kemajuan kerja bagi fasa pertama mencapai 91 peratus dan di jangka selesai sepenuhnya pada 11 September 2018.

“Komponen pertama dan kedua merupakan kerja pengubahsuaian pada bangunan sedia ada serta mereka bentuk, membekal dan memasang sistem penyiaran, manakala komponen ketiga ialah reka bentuk, membina dan melengkapkan kemudahan baharu.

“Bagi fasa kedua pula, status kemajuan kerja adalah 17% seperti yang dirancang dan dijangka siap sepenuhnya pada 11 Jun 2019.

“Status kemajuan kerja bagi mereka bentuk, membina, melengkap, mentauliah dan meyelenggara kerja infastruktur, bangunan dan peralatan Media City adalah 25 peratus seperti disasarkan,dan dijangka selesai sepenuhnya pada 11 Jun 2020,” katanya dalam kenyataan.

Gobind sebelum itu melawat ke tapak projek bagi meninjau perkembangan projek.

Turut mengiringi beliau, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Datuk Sri Syed Faisal Albar; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato’ Dr Mohd Ali Mohamad Nor dan Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Strategik, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Abdul Muis Shefii.

Beliau turut diberikan taklimat khas mengenai kemajuan projek ini dan kemudiannya dibawa melawat ke sekitar tapak projek yang dibangunkan anak syarikat DRB-HICOM, Media City selaku kontraktor utama.

Menurutnya, projek yang mengambil konsep dan idea daripada Bandar Media, United Kingdom ini bertujuan menaik taraf dua saluran transmisi analog sedia ada kepada 10 saluran HD.

“Saya menyarankan agar RTM menonjolkan imej baharu memastikan stesen televisyen paling utama ini mampu bersaing secara sihat atau lebih baik berbanding stesen televisyen swasta tempatan dan juga di peringkat antarabangsa.

“Projek Media City ini bakal dilengkapi dengan infrastruktur moden seiring dengan perubahan teknologi semasa kearah rangkaian TV digital yang komprehensif.

“Dengan penaikan taraf ini juga, Malaysia mampu mencapai piawaianan tarabangsa seperti Bandar Media di Dubai, Sydney, Singapura dan Manchester,” katanya.


Pengarang :