EKONOMISELANGOR

PROTUNE lahirkan lebih 23,000 usahawan berjaya

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 27 JUL: Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor (PKNS) berjaya melahirkan seramai 23,075 usahawan menerusi pelaksanaan Program Tunas Niaga (PROTUNE), sepanjang tahun lalu.

Ketua Pegawai Korporatnya, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata, kejayaan lebih manis apabila ada kalangan mereka yang sudah menempa nama dengan produk tersendiri, setelah menamatkan alam persekolahan dan universiti.

“Ia termasuk produk inovatif yang dipatenkan sehingga menerima Anugerah Emas di Romania, reka bentuk dalaman di Casa Impian, perniagaan pengurusan acara dan sebagainya.

“Perniagaan yang dijalankan meliputi bidang perkhidmatan, pemborongan, pelancongan, pertanian, penternakan, makanan dan minuman, bioteknologi, teknologi maklumat (ICT) serta perniagaan atas talian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Promosi Jualan Program Tunas Niaga (PROTUNE) dan Perintis Usahawan (PPU), di Atria Warisan Kompleks PKNS, di sini, semalam.

Pada masa sama, Zubaidah berkata, PKNS juga melahirkan seramai 1,240 usahawan dalam kalangan cilik, melalui Program Perintis Usahawan (PPU) untuk pelajar sekolah rendah, sejak 2007.

Terdahulu, sebanyak 80 gerai turut serta dalam program jualan itu, dengan 47 daripadanya adalah peserta sekolah menengah (PROTUNE) dan enam gerai sekolah rendah (PPU) secara percuma

Manakala, 18 gerai lagi membabitkan usahawan BizClub PKNS yang dikenakan kadar sewaan minimum.


Pengarang :