Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional melancarkan aplikasi mudah alih myPTPTN.
NASIONAL

PTPTN: Nie Ching nafi peminjam gagal bayar disenarai bankrap

KUALA LUMPUR 27 JUL: Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching kecewa kenyataannya mengenai peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diputar belit segelintir media dan netizen media sosial.

Teo berkata kenyataannya di Dewan Rakyat awal minggu ini tidak bermaksud kerajaan akan melaksanakan hukuman meletakkan peminjam yang gagal membayar hutang PTPTN dalam status bankrap.

“Saya sangat kecewa kerana maksud saya sebenarnya membandingkannya dengan sistem perbankan swasta, jika penghutang gagal membayar hutang mereka akan disenarai bankrap, tetapi tidak adil untuk kita lakukan perkara sama pada bekas pelajar yang gagal bayar PTPTN, itu maksud saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pertandingan Koakedemik Bahasa Melayu Peringkat Kebangsaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sini semalam.

Sejak beberapa hari lalu melalui perkongsian di media sosial tersebar kenyataan daripada Teo bahawa kerajaan akan membankrapkan peminjam yang gagal membayar hutang PTPTN.

Dalam pada itu, pada majlis berkenaan Sabah membuktikan keunggulan apabila 3 sekolah dari negeri itu menjuarai 3 kategori Pertandingan Koakademik Bahasa Melayu peringkat Kebangsaan DBP-KPM 2018.

Olevia Demius dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tenom, dinobatkan sebagai johan dalam pertandingan deklamasi puisi kategori sajak, manakala Mohammad Akmal Faramzyzam Shah Abdullah dari SMK Terusan Lahad Datu meraih juara bagi kategori sahibba sekolah menengah.

Nur Khairina Man Siew Kiong dari SJKC Yuk Choi, Lahad Datu pula meraih juara bagi kategori sahibba (sekolah rendah).

16 pasukan dari sekolah di seluruh Malaysia menyertai pertandingan itu yang bertujuan meningkatkan keterampilan penguasaan bahasa Melayu dalam konteks komunikasi dan tulisan dalam kalangan pelajar sekolah bagi memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :