SASTERA

Pulang ke rumah Nakhoda

Oleh Johan Radzi

Adindaku Irene,

Penerbanganku mengambil masa lapan jam untuk selamat mendarat di KLIA. Pesawat kami jadi sedikit tergendala kerana gangguan ribut di angkasa Indonesia. Mujurlah tiada musibah yang melanda. Aku sendiri merasa tidak pasti dengan kepulanganku kali ini. Peguam itu telah hubungiku berkali-kali dan kukira, mungkin inilah waktu aku akan temui jawapan yang sekian lama membelengguku.

Sesudah mendarat, aku hampir-hampir lupa akan cuaca di sini, sehinggalah bahang surianya datang menyengat-nyengat kulitku. Aku mengambil teksi untuk langsung ke Klang. Supirku seorang lelaki India yang ramah. Dia banyak merintih tentang pekerjaan yang semakin sulit didapati di KL. Mulutnya terlongo apabila mendapat tahu bahawa aku juga anak kelahiran negara ini. Kami tertawa.

Sementara itu, tunggulah kepulanganku. Jagalah dirimu dan Thomas sekali.

Tulus ikhlas,

Alex

Udara Pelabuhan Klang masih berjelaga saat kereta mereka memasuki wilayah Barat Selangor itu. Jalan-jalan aspalnya berbau hangus dan terbakar. Semilir bertiup, menghadirkan aroma masin dan asap corong. Mereka melintasi jambatan lama yang berlatarkan paya bakau dan muara sungai. Airnya berkelodak dan kapal-kapal bersimpang siur menghantar pesan kargo terakhir senja itu.

Mereka lalui sebuah pendesaan cina sebelum akhirnya tiba di sebuah rumah kayu bercat biru di tebing jalan. Halamannya sarat ditumbuhi lalang. Pagar karatnya terselak. Seorang wanita berkemeja putih berskirt hitam sedang menghisap rokok di kerusi rotan. Dia melambai-lambai kepada mereka. Alex membayar tambang lalu melangkah masuk. Mereka bersalaman.

“Nama saya Melati. Saya peguam yang mengendalikan wasiat bapakmu.”

Pintu dibuka. Alex memerhatikan latar sekelilingnya sekali lagi, cuba menafsir latar rumah lama ini serta bekas penghuninya. Jiwanya tak tenteram. Adakah dia miliki keberanian itu? Melati sedang menanti di ambang pintu. “Encik mahu masuk?”

Air liurnya ditelan. Alex mengangguk gugup.

Dia berasa seperti memasuki suatu zaman silam yang bukan miliknya. Mizbah Buddha dan patung-patung dewata menyambut mereka di muka hadapan. Udaranya berbau purba: bergentayangan aroma-aroma kayu, debu, hapak, hamis, serta bau bakaran setanggi yang tipis. Terdapat jampi-jampi aksara Sanskrit yang ditampal berdekatan tugu-tugu kecil tersebut.

“Rumah ini dan segala isinya adalah kepunyaan bapakmu. Rumah ini sudah berusia tiga dasawarsa. Sangat dekat dengan pantai.”

Alex berjalan lagi. Di ruang tamu terduduk sepasang kerusi rotan, lukisan desa, jambak bunga, jam dinding, almari curut, rak buku dan ensiklopedia, radio lama, patung guido, dan asbak rokok separa penuh. Alex menghampiri rak tersebut, mencapai sebuah album yang sudah lusuh kulitnya. Dia menyelak album-album yang tersusun rapi: Lisbon, Portugal. Goa, India. Jakarta, Indonesia.

Foto: Lautan biru. Matahari terbenam di hujung saujana. Anak-anak kapal dan nakhoda. Tebing dermaga. Kafe-kafe berjejeran. Bar minuman keras. Rumah pelacuran.

“Bapakmu seorang nakhoda. Sepanjang riwayatnya beliau belayar ke pelabuhan-pelabuhan dunia…”

Alex berasa janggal. Dia cuba mencari titik persamaan dengan lelaki yang tersenyum dengan botol bir di tangan kanan itu. Tetapi hampa. Seperti terdapat satu jurang yang melebar antara dia dengan lelaki yang dikatakan bapak kandungnya itu. Mereka berkongsi darah daging namun Alex tidak mengingati apa-apa tentang lelaki itu. Yang terhampar cumalah satu lubang yang kosong dan mencengkam.

Bunyi ekzos motorsikal dan tawa anak-anak muda melintas menyusup celah tingkap.

“Sepanjang usiaku aku tidak pernah mengenal bapak. Ibuku tidak pernah menceritakan dan ketika umurku berusia empat tahun, aku sudah tidak bertanya lagi. Bilangnya, bapak sudah pergi untuk menyahut seruan laut. Dia tidak peduli akan nasib kita lagi.”

Kemudian;

“ada sesiapa lagi yang menuntut rumah ini?”

“Dia ada dua anak hasil perkahwinannya. Tetapi seorang sudah jadi korban kemalangan dan seorang lagi meringkuk di penjara. Wasiatnya menegaskan bahawa harta pusakanya hanya akan ditujukan kepadamu seorang. Lantas, kami terpaksa menjejakimu sehingga ke Sydney.”

Mereka berjalan pula ke dapur. Kabinet-kabinet yang bersawang dan kosong. Terdapat pinggan dan teko porselin China. Kuali buruk, tin biskut, dan periuk yang berhabuk. Botol-botol wiski. Di dinding ada satu lagi lukisan – sekumpulan gadis Eropah dengan lagak mengghairahkan. Pada sudutnya hanya tertulis: Para mi amigo, Marzo 1989.

“Apa punca kematiannya?”

Melati teragak-agak: “Sifilis”

Melangkah ke kamar tidur. Dia melihat keranjang, almari, meja, dan permaidani yang kian memudar. Jendelanya terbuka. Alex menyelongkar laci; menyelak diari-diari peribadi bapaknya. Hampa. Kemudian dia mengintai ke bawah katil: kosong. Cahaya senja semakin malap di mulut langit. Bayang-bayangnya merangkak sehingga ke hujung kaki mereka. Di luar, Selat Klang menggumam. Lautnya tenang dan berkeruh. Kapal-kapal mulai menyalakan lampu masing-masing.

Suara Alex memecah. Dia sudah tak mahu berselindung lagi. “Ada dia meninggalkan apa-apa surat untukku? Apa-apa pesan? Atau…”

Wanita itu menggeleng simpati. “Hanya rumah ini sahaja, encik.”

Alex mendengus. Ke kamar studi. Jendelanya masih sama. Terdapat rak not muzik di sisi kiri dan peta atlas membentang di belah kanan. Di tengah – tersergam piano hitam berkilat.

“Jadi, encik mahu tandatangani borang pengesahan penerimaan harta pusaka ini?”

“Piano ini masih berfungsi?” Alex memotong.

“Err, ya.”

Alex duduki kerusi piano tersebut. Dia memandang risalah muzik di hadapan – Malayan Classic Songs. Kemudian jarinya menekan kunci piano tersebut dan berdentinglah seluruh kamar itu. Dia masih hafal bahasa muzik. Dia menyelak-nyelak halaman risalah itu sehingga pada judul ‘Rasa Sayang’ sebelum sekeping foto sepia terjatuh di depannya. Alex mengutip foto itu. Tangannya menggeletar. Di situ seorang lelaki berseragam nakhoda sedang berdiri menatap renungan Alex. Dia sedang mendukung seorang bayi. Mata lelaki itu redup. Tubuhnya tinggi dan wajahnya berjambang. Bayi itu tidur lena di pangkuan lelaki tersebut.

Alex menyelitkan foto tersebut ke dalam risalah semula lalu menutupnya. Melati mengulang pertanyaannya sekali lagi. Tetapi Alex berdiam diri. Jari-jemarinya sekarang sedang menari-nari di atas kekunci piano itu dan dia masih tidak mahu menjawabnya. Matahari sudah tenggelam di kerongkong langit. Dia hanya tersenyum pahit.

 

Adindaku Irene,

Aku sudah melawati rumah bapakku di Klang. Terdapat pelbagai pertanyaan yang bergalau di kepalaku tetapi barangkali hal silam sebegitu sudah tidak penting lagi. Umurku semakin menginjak. Aku sudah tidak sepatutnya berpaling ke belakang. Mataku harus ditetapkan kepada masa hadapan.

Esok aku akan menziarahi pusara bapak di KL. Kemudian ada beberapa hal lain yang perlu kusegerakan. Seusai habis, aku akan cuba ambil pesawat yang terawal untuk pulang ke pangkuanmu nanti.

Sebelum kuhabiskan, bolehkah kau menyampaikan salam rinduku kepada anak lelaki kita Thomas? Sudah berhari-hari aku tidak melihatnya. Beritahulah kepadanya bahawa papanya sentiasa merindukannya dan beritahulah kepadanya bahawa papanya berjanji akan pulang awal demi menghadiri perlawanan bola sepak akhirnya bulan September nanti. Bolehkah kau beritahunya begitu, sayangku?

Tulus ikhlas,

Alex.


Pengarang :