BERITA UTAMASELANGOR

Putrajaya bagi ‘lampu hijau’ isu air selesai Ogos

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 23 JUL: Isu penstrukturan air negeri bakal dimuktamadkan menjelang Ogos ini, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan menerusinya menterinya, Dr Xavier Jayakumar mengesahkan proses penstrukturan air sedang dikemaskini di pelbagai peringkat institusi kerajaan dan swasta.

“Ia sudah dijanjikan oleh Menteri, saya optimis isu ini menjadi keutamaan bagi saya dan kepimpinan Kerajaan Negeri.

“Sekarang ini kita berada pada landasan yang betul untuk menyelesaikan isu ini,” katanya kepada pemberita, semalam.

Kemelut penstrukturan air negeri sukar dicapai berikutan kegagalan perjanjian membabitkan kedua-dua pihak antara pentadbiran negeri dan Putrajaya sebelum ini yang ditadbir Barisan Nasional.

Pertikaian dilaporkan berlaku susulan wujudnya elemen berat sebelah yang disifatkan Kerajaan Negeri gagal menetapi kehendak keperluan rakyat Selangor.

Bagaimanapun Amirudin percaya, isu berkenaan akan ditangani sebaik mungkin bagi menjamin kepentingan rakyat di Selangor.

“Kita perlu hati-hati kerana isu ini melibatkan perbelanjaan besar dan perjanjian antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Walaupun pentadbiran Persekutuan dan Negeri berada dalam keadaan ‘mesra’, namun saya memberi jaminan kepentingan rakyat itu perlu diutamakan.

“Namun, kita sudah mengadakan perbincangan, sekurang-kurangnya penghujung Ogos ini isu ini dapat diselesaikan,” katanya.


Pengarang :