SELANGOR

Rakyat tolak politik perkauman dicanang BN – Mukhriz

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 25 JUL: Kemenangan Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) membuktikan rakyat inginkan perubahan dan menolak politik perkauman dimainkan Barisan Nasional (BN) selama ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pembangkang khususnya Barisan Nasional (BN) harus meninggalkan pendekatan lama yang tidak lagi relevan demi memenuhi kehendak rakyat dari pelbagai bangsa dan agama yang mahukan perubahan.

“Kita melihat mereka (BN) susah berubah dan keluar daripada belenggu (politik perkauman) maka kita perlu mengikut kehendak semasa dengan rakyat inginkan perubahan.

“Dengan keadaan berlaku ini, saya yakin peluang PAKATAN kekal di Sungai Kandis cerah tambahan rakyat sudah melihat prestasi Kerajaan Negeri ,” katanya kepada media.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata demikian selepas Ceramah Pilihanraya untuk calon PAKATAN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N49 Sungai Kandis di Taman Sri Andalas di sini, semalam.

Dengan perkembangan itu, beliau berkata, tiada sebab pengundi di DUN berkenaan menyerahkan kawasan itu kepada BN.

“Soal kepentnigan orang Melayu dan agama Islam sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan maka kita tidak perlu untuk mengungkitkan terhadap setiap isu berkaitannya.

“Semuanya sudah berlalu dan kemenangan PAKATAN dalam PRU14 membuktikan rakyat sudah bersedia untuk perubahan demi kebaikan bersama,” katanya.

PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohd Zawawi dengan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon BEBAS, K Murthy, dengan proses pembuangan undi pada 4 Ogos ini.

Ia diadakan ekoran kematian penyandangnya dari PAKATAN, Shuhaimi Shafiei, akibat kanser limfoma, 2 Julai lalu.


Pengarang :