SELANGOR

Ramai alukan Anwar tanding Presiden KEADILAN

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 18 JULAI: KEADILAN menyambut baik dan mengalukan hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding jawatan Presiden, pada Kongres Nasional KEADILAN, November ini.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Amirudin Shari berkata, hasrat Ketua Umum KEADILAN itu disokong pimpinan di semua peringkat dan akan mengekalkan kecemerlangan parti.

“Ramai pihak menyambut baik apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan diri bertanding jawatan itu, malah saya pernah mencadangkannya, pada 2013.

“Namun, saya percaya gabungan kepimpinan Anwar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail perlu dikekalkan untuk meneruskan agenda kemenangan serta reformasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Menyantuni dan Menyemarakkan Inisiatif Peduli Rakyat DUN Sungai Kandis bersama Dato’ Menteri Besar, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar berkata, beliau kini memberi tumpuan terhadap persediaan KEADILAN menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis, pada 4 Ogos ini berbanding isu lain termasuk pertandingan dalam kongres parti itu.

“Fokus saya sekarang menggerakkan jentera KEADILAN untuk menang PRK DUN Sungai Kandis dan saya belum fikirkan (bertanding Naib Presiden),” katanya.


Pengarang :