SELANGOR

‘Riang Raya Retro’ Tourism Selangor tampil keunikan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 12 JUL: Biarpun Syawal semakin menuju ke penghujungnya, kemeriahan masih berterusan dengan penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Tourism Selangor, di Grand Ballroom Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Mengetengahkan tema ‘Riang Raya Retro’, acara yang berlangsung seawal jam 11 pagi hingga 4 petang itu, menerima kunjungan lebih 2,000 hadirin.

Pengurus Besarnya, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, tema ‘Retro’ dipilih bagi mengimbas semula sambutan perayaan diadakan pada zaman dahulu.

“Kami mahu menyingkap semula bagaimana orang-orang dulu menyambut Aidilfitri. Saya rasa semua orang suka dan tertarik dengan tema yang kita bawakan.

“Pada masa sama, kami mahu menjalin hubungan erat dan mesra dengan tetamu yang hadir, terutama dalam menjayakan industri pelancongan di Selangor. Terima kasih kepada semua pihak,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Terdahulu majlis berkenaan diserikan dengan kehadiran Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bersama isteri, Masdiana Muhamad dan isteri kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, iaitu Datin Seri Shamshida Taharin.

Turut hadir sama Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, barisan Exco Kerajaan Negeri dan beberapa pihak berkepentingan.

Tetamu yang hadir dihidangkan dengan aneka juadah makanan antaranya kambing golek, mi sup, soto, rendang, cendol dan kuih-muih.

Selain itu, majlis turut digamatkan dengan persembahan pentas daripada ‘Nada Akustika’ yang mendendangkan lagu-lagu raya berkonsepkan akustik dan retro.


Pengarang :