EKONOMINASIONALRinggit

Ringgit rendah berbanding dolar AS

SHAH ALAM, 18 JULAI: Ringgit terus dibuka rendah pagi ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan harga minyak mentah rendah.

Pada jam 9.03 pagi, ringgit berada pada 4.0530/0600 berbanding dolar AS daripada 4.0445/0485, pada Selasa, lapor BERNAMA.

Ketua Dagangan Asia Pasifik OANDA, Stephen Innes berkata, dolar AS lebih kukuh dengan harga minyak mentah rendah menyebabkan ringgit berusaha mendapat tarikan.

Sehingga pada jam 9.30 pagi, penanda aras minyak mentah Brent diniaga rendah, pada US$71.79 setong susulan kebimbangan berkenaan peningkatan bekalan.

Sementara itu, seorang lagi peniaga berkata, kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan, Jerome Powell berkenaan prestasi ekonomi AS yang meningkat mendorong dolar AS meningkat, menyebabkan mata wang terbabit diniagakan tinggi, berbanding mata wang utama lain.

Selain itu, katanya, pelabur kekal tidak memasuki pasaran menjelang Indeks Harga Pengguna bagi Jun yang akan diumumkan, hari ini untuk hala tuju pelaburan seterusnya.

Ringgit, bagaimanapun, diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 2.9686/9748 daripada 2.9737/9768, naik berbanding yen kepada 3.5867/5939 daripada 3.5986/6025, dan meningkat berbanding pound kepada 5.3131/3235 daripada 5.3610/3667 pada Selasa.

Berbanding euro, ringgit turut naik kepada 4.7238/7327 daripada 4.7438/7489 semalam.


Pengarang :