OLEH NADIAH ZAMLUS
KUALA LANGAT, 24 JUL: Kira-kira RM6 juta diperuntukkan bagi menaiktaraf semula kemudahan di Pantai Batu Laut dan Pantai Tanjung Sepat, di sini.
Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah berkata, kos berkenaan bagi pembinaan semula kedai, gerai makanan dan laluan pejalan kaki buat pengunjung pantai.
Katanya, projek itu sudah mendapat kelulusan daripada pihak berwajib dan dijangka kerja pembinaan akan mula dijalankan, pada September ini.
“Kerja naik taraf ini dilakukan supaya pengunjung mendapat kemudahan yang lebih selesa termasuk peniaga sedia ada.
“Malah, saya melihat jumlah kedatangan pelancong ke dua pantai ini juga semakin bertambah, setiap bulan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.
Borhan berkata, peniaga sedia ada akan ditempatkan di lokasi sementara bagi menunggu kerja pembinaan kedai baru selesai.
“Perkara itu sudah dimaklumkan kepada Majlis Daerah Kuala Langat bagi proses pemindahan. Saya mahu peniaga terus menjalankan perniagaan masing-masing kerana pengunjung tetap akan datang ke kawasan pantai untuk mencari makanan ketika beriadah dengan keluarga.
“Jika kedai baru sudah siap, maka kita akan tempatkan mereka secepat mungkin,” katanya.
Tanjung Sepat adalah sebuah pekan di daerah Kuala Langat yang terletak dalam perjalanan dari Pantai Morib ke pekan Sungai Pelek, Sepang.
Sementara itu, Pantai Batu Laut pula adalah salah satu lokasi riadah yang berjaya menarik kedatangan pengunjung, setiap hujung minggu.
Istimewanya, pantai itu menjadi kawasan latihan perahu layar, di bawah Persatuan Perahu Layar Selangor.