EKONOMINASIONAL

RMK11 dibentang 18 Oktober, muatkan manifesto PRU

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 JUL: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi giat menjalanjan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dengan mengimbas kembali prestasi ekonomi negara bagi tempoh dua tahun lalu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kajian yang bakal dibentangkan pada 18 Oktober itu nanti turut memuatkan cadangan manifesto Kerajaan Pakatan Harapan.

“Antara lain akan mengimbas kembali prestasi ekonomi negara dalam tempoh dua tahun lalu namun memandangkan kerajaan ini baru dibentuk maka kajian separuh penggal ini juga memuatkan beberapa cadangan berdasarkan manifesto Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam pilihan raya akan datang.

“Jadi, ada dua strategi dalam kajian separuh penggal, bukan sahaja melihat prestasi yang lalu tetapi juga kita merencana dan membuat dasar baru berdasarkan manifesto PAKATAN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada media Majlis Sambutan Aidilfitri Agensi Agama Islam Selangor di Perkarangan Bangunan Sultan Idris Shah di sini, hari ini.

Mohamed Azmin menjangkakan kajian RMK11 yang melibatkan pelbagai aspek itu dapat disiapkan sebelum hari pembentangan nanti.

Sementara itu, majlis sambutan aidilfitri itu dimeriahkan dengan kehadiran Mohamed Azmin dan Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Kehadiran dua ikon penting Selangor itu berjaya mencuri tumpuan hadirin yang ada di majlis terbabit.

Mohamed Azmin dan Amirudin turut mengambil kesempatan melayani pengunjung yang ingin mengambil gambar dan bersalam-salaman.


Pengarang :