BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

RMS cemar duli suntik semangat pemain Red Giants

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi meninjau sesi latihan Selangor menghadapi perlawanan akhir Shopee Piala Malaysia 2018 bertemu Pahang, malam esok.

Baginda yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tiba sekitar jam 8 malam dengan diiringi Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan meluangkan masa hampir satu jam setengah.

Sejurus selesai sesi latihan, baginda menyampaikan sepersalinan pakaian rasmi untuk kegunaan pemain yang diterima Naib Presiden FAS, Datuk Abdul Rauf Ahmad; Ketua Pasukan, Mohd Amri Yahya dan pemain pertahanan, Mohd Razman Roslan.

Baginda kemudian turut bertemu dan bersalaman dengan pemain serta memberikan kata-kata semangat.

“Beta harap anda semua boleh bermain sebagai satu pasukan. Bermainlah dengan semangat dan mentaliti sebagai seorang juara.

“Beta ucapkan selamat maju jaya. Beta sentiasa bersama kalian dan pasukan serta percaya kamu boleh memenanginya,” titah baginda.

Untuk rekod, Selangor menjulang trofi Shopee Piala FA sebanyak lima kali, sementara dua kejuaraan milik Pahang.

Kali terakhir Selangor memenangi Shopee Piala FA, pada 2009 manakala Pahang yang membuat penampilan musim kedua berturut-turut menjulang trofi sama, pada 2014 sebelum kecewa tewas 3-2 kepada Kedah, tahun lalu.


Pengarang :