AGAMABERITA UTAMASELANGOR

RMS harap jemaah haji Selangor jadi contoh

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 JUL: Duli Ýang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berharap jemaah haji Selangor akan menjadi contoh kepada yang lain, pada musim ini dengan ilmu pengetahuan dan persiapaan rapi dilakukan.

Mewakili Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, baginda bertitah, bakal jemaah juga perlu mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan Malaysia dan Arab Saudi berkaitan perkara berkenaan.

“Beta berharap bakal haji sekalian membuat persiapan rapi daripada segenap aspek berkenaan hukum hakam, pengurusan diri dan peraturan kerajaan Malaysia serta Arab Saudi harus dititikberatkan.

“Ia supaya bakal haji di Malaysia dan Selangor khususnya terus kekal sebagai bakal haji contoh untuk musim ini,” titah baginda pada majlis perasmian Kursus Perdana Haji peringkat Selangor 1439 Hijrah, di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.

Tengku Amir Shah bertitah, semua peserta kursus berkenaan juga diharap akan dapat menimba ilmu pengetahuan dan pembelajaran dengan penuh tekun serta jaya.

“Semoga usaha menuntut ilmu pengetahuan ini akan diterima Allah dan mendapat haji mabrur,” titah baginda.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Dato’ Badlisyah Abdul Ghani.


Pengarang :