SASTERA

Rumah Seni Selangor: Meriuh ruang

Oleh Alina Abdullah

Foto oleh Arina, Firdaus dan Farez

Telah tercatat bahawa residensi seni, atau koloni seni bermula seawal tahun 1666, apabila kerajaan Perancis menaungi beberapa artis seni mereka untuk ke program residensi di luar negara. Tentunya pada kurun tersebut, Itali, atau tepatnya Rome-lah tempatnya bagi kelompok seniman berkumpul. Keluarga Medici, penaung seni pada ketika itu telah membina Vila Medici di Rome, yang menjadi antara tempat permulaan bagi artis-artis seni bertapak. Selepas itu, peranan dan tujuan koloni artis ini telah berubah, berkembang dan berdiaspora, seiring dengan perubahan lingkungan seni dunia.

Residensi seni bermaksud seorang atau sekumpulan artis seni tampak (yang boleh terdiri daripada pelbagai bidang seni yang lain seperti sastera atau tari) bersarang di ruang tertentu seperti di studio, muzium mahupun galeri dalam tempoh masa yang tertentu, dengan insentif penaung; dana atau ruang, atau kedua-duanya. Residensi ialah inkubator bagi produktiviti artis, juga peluang membina rangkaian dan hubungan serta mungkin yang paling penting, inspirasi. Di penghujung tempoh residensi, artis diharap menghasilkan beberapa karya untuk dipamer dan dijual.

Di Malaysia, antara residensi artis yang terkenal ialah Rimbun Dahan, HOM, dan Sembilan (sekadar menyebut beberapa nama). Sesungguhnya ruang residensi sebegini begitu membantu artis-artis muda yang mencari tapak dan memulakan langkah dalam lapangan seni visual.

Di celah-celah kemeriahan (atau kelesuan) kumpulan seni dan residensi yang menawarkan ruang, muncul Rumah Seni Selangor, atau Russel yang turut berkongsi peranan dan tanggungjawab. Russel yang mula dibuka pada bulan April 2018, adalah inisiatif pejabat Exco Pembangunan Generasi Muda & Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan terdahulu yang pada ketika itu diterajui YB Amirudin Shari, kini Dato’ Menteri Besar Selangor. Russel juga berada di bawah induk Kota Seni PJ kelolaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Terbangun di sebuah rumah agam di lokasi paling pencil dan sunyi, Russel bukan sahaja mempunyai ruang koloni bagi artis, tapi juga tiga ruang modular lain seperti ruang galeri, dan anjung acara, dan sudut baca. Pasti tidak akan menjadi ruang yang pencil dan sunyi, melainkan riuh dengan dukungan penggiat seni.

Residensi Russel mempunyai tiga buah studio seni, yang pada ketika ini dikoloni tiga orang artis, iaitu Mat Ramli Mansor, pengkhususan dalam arca yang bermediumkan kayu, Arina Kiswantoh, forte melukis figura-figura naif semi abstrak, serta Anasuha, yang gemar merakam figura-figura yang peribadi. Artis residensi Russel akan berkoloni di rumah seni dalam tempoh lima bulan. Tidaklah sekadar berperam di studio, malah mereka akan didedahkan dengan apa jua ilmu kesenian; tentang kritikan, tentang pasaran seni, pertemuan dengan kurator galeri dan pengumpul seni serta mmembuat rangkaian dengan kumpulan dan studio seni yang lain. Program residensi ini bukan sekadar memantapkan diri, malah juga menyumbang sesuatu yang berguna kepada komuniti dan lingkungan setempat. Diharapkan pengakhiran tempoh residensi, akan terbit karya-karya di luar kotak selesa mereka. Begitulah matlamat Russel.

Anjung acara pula menyediakan ruang bagi program bengkel seni, samada bengkel seni tampak mahupun seni kraf yang diadakan hampir setiap bulan. Bengkel seni tampak menumpu pada seni lukis dan seni catan berkonsep live drawing. Bengkel seni halus ini tidak terkepung dalam ruang tertutup sahaja, malah boleh diadakan di ruang terbuka, dengan aktiviti plein air.

Bengkel seni kraf pula menumpu pada aktiviti kraf tradisi mahupun bukan tradisi. Seiring dengan gagasan KPM, Russel sedang dan telahpun merancang bengkel bengkel yang bersifat vokasional dan teknikal, antaranya pertukangan kayu, pembuatan barangan kraf kulit dan juga penghasilan seni kraf batik.

Di samping program-program yang telah dirancang, rumah seni juga membuka ruang-ruang modular ini kepada mana-mana pelajar dan juga penggiat seni yang lain untuk mengeksploitasikan ruang di Russel dengan cara yang optimum. Pada saat dan ketika ini, Russel merupakan satu-satunya ruang seni yang beroperasi gaya sebegini di Selangor.

Penggerak utama Russel iaitu kurator ruang 1 dan 2 ialah Suddin Lappo, dan saya sendiri serta dibantu oleh rakan-rakan seni yang lain. Anwar Azhari yang menguruskan ruang galeri, Zulkiflee Zainul Abidin dan M. Farez Karim yang mengendalikan ruang dan program bengkel seni.

Sebegitulah saya kira hasrat sekian lama kami penggerak seni. Yang dambakan ruang yang boleh kami lontar seribu suara dan berekspresi sejuta rasa tanpa dikekang defisit ruang, belanja, atau tenaga. Harapan Russel agar ruang modularnya dapat menjadi wahana bagi pengkarya berekspresi dan berkreatif sebebasnya, berdiri atas dokongan kebebasan berfikir, menggalakkan kerencaman aspek seni serta menjadi tempat tumbuhnya ilmu, dengan lorekan kata sapere aude!

Russel juga diharap dapat menjadi jambatan kumpulan-kumpulan seni lain dan saling bergantung atas nama seni. Jaringan seni sebegini akan menjadi pemangkin lingkungan seni setempat demi menyebarluas peranan dan fungsi seni dalam komuniti.

Ruang seni yang baik, seperti juga secawan kopi, perlu proses yang teratur. Biji kopi yang disangai, dikisar, dan dibru, cukup dengan sukatannya, ada rasa lemak dan pahitnya. Secukup rasa, dengan atau tanpa gula dan susu. Ruang seni yang baik, bersifat mesra, menawar bukan sahaja apa yang dimahukan lingkungan seni, malah dapat menjadi jambatan dan tali pengikat dengan kumpulan seni dan koloni artis yang lain. Ruang ini juga kami harap dapat jadi lubuk, atau sarang, malah jua solitari kepada penggiat, penggemar untuk datang berkongsi apa saja, meriuh ruang, atau sekadar duduk berdiam. Itupun tidak apa. Ruang ini juga dahaga pertemuan para seniman, karyawan, intelektual dan sarjana malah jua politikus merancak budaya berfikir. Ruang ini bukan eksklusif, malah inklusif untuk semua khalayak.

Ruang sebegini juga memainkan peranan penting dalam memberdaya komuniti yang kekurangan samada daripada segi sosial, budaya, alam sekitar mahupun ekonomi. Tenaga kreatif individu dan kumpulan seni tempatan dapat memperkasakan lagi budaya dan menggalakkan komuniti setempat bergiat secara aktif dalam pembangunan komuniti.

Sebagai penamat, kami anak seni, berharapan agar lebih ramai penaung , yang dibantu oleh penggerak sneii yang lain, dapat membantu mewujudkan ruang komuniti seni modular yang sebegini, dan mungkin lebih lagi, di setiap daerah di negeri Selangor, khususnya, dan negara, umumnya.

Sebagaimana keluarga Medici telah menyuburkan kesenian di Florence pada kurun ke-15 dengan penaungan mereka, maka dengan sokongan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan, ruang sebegini diharap dapat memperkasa seniman, memberdaya komuniti dan lingkungan setempat serta menjadi tapak perkembangan seni dan tradisi ilmu.

*Russel boleh dihubungi melalui e-mel [email protected]


Pengarang :