SELANGOR

Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Melawati meriah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA SELANGOR, 8 JUL: Cuaca panas tidak menjejaskan keterujaan orang ramai untuk membanjiri perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM), sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat DUN Bukit Melawati, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, majlis penuh riang itu merupakan acara julung kali diadakan pihaknya bagi meraikan Syawal.

Katanya, ia sekali gus merapatkan ukhwah antara pemimpin tempatan dan menyatu padukan rakyat berbilang kaum di kawasan itu.

“Kami menjemput semua masyarakat terutama di daerah ini, tidak mengira bangsa dan agama untuk memeriahkan program.

“Ia termasuklah pengerusi tokong dan kuil, nazir masjid serta ketua-ketua jabatan iaitu dengan khidmat yang diberikan di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

“Alhamdulillah, kami menerima sokongan padu daripada seluruh lapisan masyarakat di sini,” katanya ketika ditemui SelangorKini, semalam.

Hadir sama menyerikan majlis adalah, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad dan ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi serta beberapa kepimpinan lain.

Pada masa sama, Dato’ Menteri Besar itu merasmikan Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Melawati dan menyerahkan 1,000 borang keanggotaan ahli baharu Pakatan Harapan (PAKATAN).

Selain itu, turut dilangsungkan penyerahan Insentif Perkahwinan Belia (IPB) yang membabitkan 38 penerima.


Pengarang :