GLOBAL

Saintis New Zealand hasilkan X-ray 3D berwarna pertama

PERANCIS, 13 JUL: Saintis di New Zealand menghasilkan X-ray berwarna pertama (tiga dimensi) ke atas manusia menggunakan teknologi penjejakan zarah.

Menurut makmal fizik CERN Eropah yang menyumbang teknologi pengimejan itu, penghasilan teknik terbaru dibangunkan mesin Pelanggaran Hadron Besar yang menemui zarah Higgs Boson pada 2012 itu menjanjikan sesuatu yang berguna dalam memperbaiki bidang diagnostik perubatan.

“Teknik pengimejan berwarna X-ray boleh menghasilkan gambar lebih jelas yang boleh membantu doktor memberi diagnos lebih tepat,” kata CERN dalam satu kenyataan.

Teknologi CERN digelar Medipix itu berfungsi seperti kamera mengesan dan menghitung zarah sub atom individu yang membolehkan gambar beresolusi tinggi dihasilkan.

“Alat pengimejan baharu ini membolehkan kami mendapatkan imej yang tidak boleh diambil alatan lain,” kata perekanya di Universiti Canterbury, Phil Butler.

Menurut CERN, imej tersebut sangat jelas dan dapat menunjukkan perbezaan antara tulang, otot dan tulang rawang serta kedudukan dan saiz tumor kanser.

Teknologi ini dikomersialkan oleh syarikat di New Zealand, MARS Bioimagin yang dihubungkan dengan universiti Otago dan Canterbury yang membantu membangunkannya. – AFP


Pengarang :