SELANGOR

SAOW di Plaza Shah Alam esok

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 JUN: Shah Alam On Wheel (SAOW) kembali beroperasi menanti orang ramai di Plaza Shah Alam, Seksyen 9, esok.

Ketua Bahagian Korporat dan Komunikasi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, orang ramai boleh mengunjungi SAOW bagi membuat semakan cukai taksiran, membuat bayaran kompaun tempat letak kereta serta membeli jualan kupon parkir.

“Perkhidmatan SAOW ini merupakan inisiatif yang disediakan oleh MBSA untuk memudahkan orang ramai berurusan pada hari cuti hujung minggu tanpa perlu hadir ke kaunter di Wisma MBSA di Seksyen 14.

“Ia juga bagi memastikan orang ramai terutama warga bandar raya ini mendapat perkhidmatan terbaik menerusi konsep turun padang MBSA,” katanya dalam kenyataan.

SAOW merupakan bas yang diubahsuai MBSA untuk beroperasi secara bergerak, bermula pukul 11 pagi hingga 5 petang.

“Kami berharap supaya sistem ini dapat memantapkan lagi sistem penyampaian dan perkhidmatan untuk manfaat masyarakat. SAOW yang dimulakan beberapa tahun lalu mendapat sambutan orang ramai yang sibuk pada hari bekerja.

“Justeru itu kita akan meneruskan perkhidmatan ini demi untuk memudahkan orang ramai berurusan dengan MBSA sekali gus dapat meningkatkan lagi sistem penyampaian MBSA kepada komuniti khususnya untuk warga Shah Alam,” katanya.


Pengarang :