BERITA UTAMAPELANCONGANSELANGOR

Sasar 7.5 juta pelancong domestik dan antarabangsa ke Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SERDANG, 31 JUL: Selangor mensasarkan kira-kira 7.5 juta pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri itu, kata EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu serta Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari.

Katanya, pada suku pertama tahun ini berlaku penambahan jumlah kemasukan pelancong sebanyak 12 peratus dan ia turut berlaku bagi tempoh sama, tahun lalu.

“Kerajaan Negeri akan menambah pelbagai inisiatif dan strategi baru untuk menggalakkan pelancongan domestik termasuk menganjurkan aktiviti menarik bagi membolehkan pelancong tinggal lebih lama, di Selangor.

“Salah satunya ialah mengadakan lebih banyak aktiviti perkongsian budaya dan tradisi antara masyarakat bersama pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Karnival Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Selangor (MATTA Fair Selangor), di Serdang, pada 28 Julai lalu.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Pengerusi MATTA Selangor, Datuk Syed Abdul Rahman Al Habshi.

Syed Abdul Rahman berkata, MATTA Fair Selangor berperanan sebagai landasan kepada usahawan pelancongan di negeri itu untuk meningkatkan pendapatan selain memperkenalkan produk peniagaan kepada pengunjung yang hadir.

“Karnival ini juga amat penting memandangkan sektor pelancongan adalah penyumbang kedua terbesar kepada ekonomi negeri ini.

“Malah, MATTA berharap supaya terus dapat mempromosikan Selangor dengan mengadakan karnival sama, pada tahun hadapan,” katanya.


Pengarang :