BERITA UTAMASELANGOR

Sasaran 20,000 rumah mampu milik tercapai, Selangor sasar jumlah baru

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 JUL: Selepas berjaya mencapai sasaran pembinaan 20,000 unit rumah mampu milik, Kerajaan Negeri akan menetapkan sasaran baru pada pembentangan Belanjawan 2019 nanti.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bagaimanapun berkata, rancangan itu masih diperingkat kajian dan beliau akan mendedahkan sepenuhnya ketika membentangkan belanjawan nanti.

“Sasaran 20,000 buah rumah itu telah kita capai di mana ini merupakan sasaran Dato’ Seri Mohamed Azmin di mana menjelang 2019 saya lihat kita dah capai lebih 20,000 daripada sasaran.

“Tugas saya adalah untuk melengkapkan yang masih dalam perancangan di mana keseluruhannya kita ada 156,000 unit, ini yang masih kita kejarkan supaya dalam tempoh beberapa tahun akan datang paling tidak kita dapat sediakan lebih daripada 30,000 buah rumah lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri pertemua bersama MATTA Selangor dan Tourism Selangor di pejabat beliau Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

Sebelum ini, program Rumah Mampu Milik SelangorKu mendapat sambutan menggalakkan daripada syarikat-syarikat pemaju perumahan.

Keadaan ini menyebabkan sasaran 20,000 unit yang ditetapkan berjaya dicapai lebih awal berbanding jadual yang ditetapkan.


Pengarang :