SELANGOR

Sedia rangka formula tambah rumah mampu milik

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 JULAI: Kerajaan Negeri akan mencari formula terbaik merealisasikan hasrat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya menyediakan lebih banyak tanah untuk pembinaan rumah mampu milik.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya turut bersedia melihat rizab tanah milik Kerajaan Negeri yang boleh dibangunkan, di samping perbincangan bersama pemaju supaya rakyat mampu memiliki rumah sendiri, pada harga berpatutan.

“Isu besarnya adalah rumah mampu milik, bukan perumahan. Perlu ada satu polisi baik bagaimana memberikan rumah mampu dimiliki rakyat di dalam negeri.

“Rumah berkos besar dan harga tinggi memang banyak, namun masih kurang rumah mampu milik, justeru kita perlu kenal pasti formula dan mensasarkan 20,000 rumah.

“Sekarang dalam rekod kita sudah ada perancangan membina 156 rumah di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dalam pelbagai peringkat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kursus Perdana Haji 2018 anjuran Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd yang disertai 500 bakal jemaah haji, di Dewan Utama Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Pada masa sama, beliau berkata, Selangor yang berada paling hampir dengan Kuala Lumpur menjadi tumpuan rakyat khususnya yang bekerja di pusat bandar.

Terdahulu, Amirudin menyambut baik kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin supaya Kerajaan Negeri bekerjasama menyediakan tapak tanah untuk pembinaan rumah mampu milik.

Katanya, langkah itu selari dengan Dasar Perumahan Selangor bagi merealisasikan matlamat ‘Satu Keluarga Satu Kediaman Yang Sempurna’.

“Kerajaan Selangor adalah pelopor dalam usaha mengutamakan rakyat dan menyediakan perumahan mampu milik.

“Saya berharap menerusi kerjasama strategik dengan Kerajaan Persekutuan, lebih ramai rakyat di Selangor dapat memiliki tempat tinggal baik, selesa dan selamat,” katanya.


Pengarang :