BERITA UTAMASELANGOR

Sekolah penyumbang besar sahsiah anak bangsa – MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG, 12 JUL: Sekolah adalah penyumbang terbesar kepada pembentukan sahsiah anak bangsa, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya, Kerajaan Negeri sering memberi perhatian serius dalam aspek pendidikan melalui Jawatankusa Pembangunan Pendidikan Negeri.

“Kita perlu memberi tumpuan kepada teknikal vokasional kerana ia aspek penting pembangunan negara, dan sepatutnya pelajar tidak perlu menjadi seperti ‘robot’.

“Sebaiknya mereka perlu diberi pendidikan kreatif dan kritis serta menguasai pelbagai bahasa, ini membolehkan mereka berkeyakinan dan mencerminkan identiti nasional.

“Di sini kita lihat peranan pendidik amat mustahak, oleh itu jangan sesekali abaikan sekolah yang dianggap sebagai taman ilmu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian ketika Konvensyen Pendidikan Kebangsaan ke-24, Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia dan Persidangan Perwakilan Kebangsaan ke-36 di Hotel Summit USJ.

Hadir sama hampir 300 guru besar dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Amirudin berkata, dunia pendidikan berkembang maju akibat perubahan globalisasi dengan internet di hujung jari.

Katanya, ia sekaligus menyebabkan manusia segenap lapisan memperolehi maklumat sekelip mata termasuk pelajar.

“Dahulu pelajar lebih tertumpu mengunakan buku teks namun kini semuanya lebih mudah dengan internet, dan disebabkan itu Kerajaan Selangor komited dengan menyediakan kemudahan internet percuma dan ia memudahkan pelajar.

“Sehingga kini Kerajaan Negeri sudah menyediakan 2,500 hotspot di seluruh Selangor, kita perlu tahu teknologi adalah gerbang ilmu pengetahuan paling dahsyat pada waktu ini,” katanya.

 


Pengarang :