SELANGOR

Selamat Hari Tapak Warisan Dunia – MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 JUL ‘Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Tapak Warisan Dunia’, tulis Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di laman facebook peribadinya hari ini.

Amirudin berkata, menjadi tugas dan tanggungjawab individu untuk menjaga dan mempertahankan tapak warisan dunia.

“Tapak warisan dunia menjadi tinggalan kita kepada anak cucu masa depan. Kerajaan Negeri Selangor berazam untuk mempertahankan setiap tapak warisan dunia di negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan.

7 Julai setiap tahun diisytiharkan sebagai Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Sebelum ini mantan Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong memaklumkan Permatang Kuarza di Gombak juga bakal mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Katanya, aset geologi dimiliki kuarza itu mempunyai nilai tinggi dan boleh ditarafkan sebagai warisan rantau, melebihi taraf warisan kebangsaan.

Kerajaan Negeri mahu Permatang Kuarza itu bukan sahaja diiktiraf sebagai tapak warisan kebangsaan, tetapi menjadi tapak warisan dunia dalam kategori warisan semula jadi.

Ia berikutan kawasan ini adalah tembok batuan semulajadi luar biasa di pinggir Banjaran Titiwangsa yang membentuk permatang terpanjang di dunia iaitu 14 kilometer (km) dengan kelebaran 50 meter.

Kawasan itu juga memiliki 265 spesies tumbuh-tumbuhan yang menjadikan kuarza sebagai habitat mereka.


Pengarang :