SELANGOR

Selamatkan bumi, elak guna penyedut minuman palstik

OLEH SHEEDA FATHIL

SEPANG, 31 JUL: Demi menyelamatkan bumi dan alam sekitar, masyarakat digalak untuk mengurangkan penggunaan penyedut minuman plastik, kata EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian.

Loy Sian berkata, beliau mengalu-alukan syarikat swasta dan peniaga untuk tidak menyediakan penyedut minuman plastik lagi kepada pelanggan seperti yang sudah dilaksanakan, di restoran makanan segera McDonalds.

“Setakat ini, kita di pihak Kerajaan Negeri belum berbincang untuk melaksanakan kempen tidak menggunakan penyedut minuman plastik ini, namun ia akan dibawa ke mesyuarat dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun, seperti kita sedia maklum, Selangor memang sudah lama mengamalkan kempen tanpa plastik setiap hari dan saya optimis masyarakat komited mengamalkan budaya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2018 Peringkat Negeri Selangor, bertempat di Hartalega NGC Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Sementara itu, Loy Sian berkata, ia tidak boleh dilaksanakan secara terus tetapi perlu bermula dengan kempen kesedaran bagi mendidik masyarakat supaya mereka dapat menerimanya.

“Kempen kesedaran perlu dilaksanakan supaya masyarakat sedar bahaya penggunaan plastik kepada bumi kita.

“Jika mendapat sambutan yang menggalakkan, maka usaha ini akan diteruskan supaya penggunaan barangan berunsur plastik dapat dihapuskan sebaiknya,” katanya.


Pengarang :