BERITA UTAMAEKONOMISELANGOR

Selangor kekal dahului destinasi pelaburan serantau

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 10 JUL: Selangor mendahului senarai negeri lain sebagai destinasi pelaburan terpenting negara bagi tempoh sehingga suku pertama, tahun ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, pertumbuhan positif pelaburan langsung menyaksikan perolehan keseluruhan berjumlah RM5.59 bilion.

“Selangor telah berjaya menerima 202 projek pembuatan yang diluluskan pada 2017 lalu merangkumi nilai keseluruhan jumlah pelaburan bernilai RM5.59 bilion.

“Daripada jumlah itu, dilaporkan RM3.43 bilion adalah daripada jumlah pelaburan langsung domestik (DDI) dan RM2.16 bilion daripada pelaburan langsung asing (FDI).

“Statistik terbaru dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) ini menunjukkan bahawa Selangor menduduki tempat pertama pada suku pertama menerusi bebepa industri pelaburan di negeri ini,” katanya.

Kata Teng, prospek pelaburan logistik negeri juga menunjukkan pertumbuhan perolehan maksimum menerusi hasil capaian kemasukan jumlah pelaburan negeri.

Beliau berkata, ia dibuktikan menerusi keberhasilan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara yang kini mencatatkan pertumbuhan positif bagi tempoh berakhir 2017 lalu.

“Statistik terkini dikeluarkan Jabatan Statistik Negara menunjukkan bahawa sumbangan Selangor terhadap KDNK meningkat daripada 22.7 peratus pada 2016 kepada 23 peratus, tahun 2017.

“Selangor adalah satu-satunya negeri yang menyumbang lebih kepada 20 peratus daripada KDNK negeri diikuti Kuala Lumpur yang menyumbang sebanyak 15.6 peratus.

“Daripada sudut pertumbuhan ekonomi, Malaysia mencatatkan peningkatan daripada 4.2 peratus pada 2016 kepada 5.9 peratus tahun lalu.

“Selangor seperti tahun sebelumnya menyumbanh kepada perolehan tinggi berbanding tahun lalu dan perkembangan ini memperlihatkan kepentingan pembabitan syarikat logistik negeri untuk terus menyokong dasar pertumbuhan ekonomi kini,” katanya.

Terdahulu, Teng turut merasmikan penganjuran forum berkenaan serta pelancaran buku Malaysia Logistics Perfomance Index.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Esekutif MIDA, Arham Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hassan Azhari Idris.


Pengarang :