SELANGOR

Selangor kenalpasti pelan baru, tingkat industri perikanan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 JUL: Kerajaan Negeri giat melaksanakan pelan pembangunan baru yang memfokuskan kepada hala tuju dasar peningkatan industri perikanan Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, kajian baru dilaksanakan bagi memastikan hala tuju baru itu dapat dicapai.

“Kerajaan Negeri sudah mengenalpasti program kebajikan golongan nelayan yang tidak menyeluruh atau tidak bersifat sokongan berpanjangan kepada nelayan.

“Jadi kita perlu laksanakan sistem baru yang akan menjalankan pemantauan khusus bagi memastikan industri ini berkembang maju.

“Dasar baru ini akan memberi nilai tambah sekali gus mampu menyumbang kepada perkembangan industri perikanan di peringkat negeri dan nasional,” katanya kepada SelangorKini.

Kerajaan Negeri sebelum ini memperuntukkan RM1.6 juta bagi menyediakan bantuan berbentuk peralatan menangkap ikan kepada nelayan serta makanan ternakan ikan untuk usahawan akuakultur Selangor.

Selain itu, RM600,000 diperuntuk bagi bantuan peralatan kolam ternakan membabitkan 168 penerima, bagi tempoh 2017 lalu.

Pada masa sama, Belanjawan 2018 bakal menyaksikan pelbagai inisiatif baru dalam usaha membantu nelayan meningkatkan jaringan pendapatan.


Pengarang :