BERITA UTAMASELANGOR

Selangor sambut baik hasrat KPKT, realisasi perumahan mampu milik

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 21 JUL: Kerajaan Negeri menyambut baik hasrat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk bekerjasama dalam penyediaan tapak tanah bagi pembinaan perumahan mampu milik.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hasrat itu selari dengan Dasar Perumahan Negeri Selangor bagi merealisasikan matlamat ‘Satu Keluarga Satu Kediaman Yang Sempurna’.

“Justeru itu, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan & Hartanah Selangor (LPHS) dan Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) Selangor akan merencana langkah awal untuk melakukan perundingan dengan KPKT supaya inisiatif ini dapat dijayakan secepat mungkin.

“Kerajaan Negeri adalah pelopor dalam usaha mengutamakan rakyat dan menyediakan perumahan mampu milik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin turut berharap kerjasama strategik dengan Kerajaan Persekutuan itu memberi manfaat lebih besar buat kepada rakyat Selangor untuk memiliki tempat tinggal yang baik, selesa dan selamat untuk didiami.

Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengesa kerajaan negeri menyediakan tapak tanah untuk membolehkan lebih banyak rumah mampu milik dapat disediakan oleh kerajaan pusat untuk rakyat.

Katanya, dengan penyediaan tanah terbabit yang siap dengan kemudahan infrastruktur, kos pembinaan rumah akan lebih rendah, sekali gus membolehkan pihaknya membina rumah yang lebih besar dan selesa.

“Saya meletakkan tanggungjawab ini kepada kerajaan negeri untuk menyediakan tanah untuk kami bangunkan (rumah) untuk penduduk mereka.

“Tanah-tanah yang mereka tawar kepada kita, saya nak pastikan ada infrastruktur awam,” katanya.

Zuraida berkata, pihak pembekal utiliti juga dicadangkan menanggung kos penyediaan kemudahan asas seperti elektrik, air dan telekomunikasi untuk setiap projek perumahan.

“Penanggungan kos itu mampu memberi penjimatan kepada kos projek pembangunan kawasan perumahan yang akhirnya mengurangkan harga rumah,” katanya.

 


Pengarang :