SELANGOR SUKANKINI

Selesa status pasukan bukan pilihan bertemu Pahang

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Selangor lebih selesa diletakkan sebagai pasukan bukan pilihan menjelang pertemuan akhir Shopee Piala FA bertemu Pahang malam esok, namun tidak bermakna bakal memberi laluan mudah, pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kejayaan Selangor menjulang Piala Malaysia kali ke-33, pada 2015 boleh dijadikan pemangkin semangat untuk meraih kejuaraan keenam dalam saingan Shopee Piala FA.

“Pada 2015, kita juga ‘underdog team’ (pasukan bukan pilihan). Tiada harapan yang diberikan dengan skuad Pahang yang ketika itu mempunyai pemain mantap dengan kehadiran penyerang import, Dickson Mwakame, Azamudin Akil dan R Gopinathan.

“Semangat berpasukan dan jati diri membawa kepada kemenangan. Saya harap semangat sama akan dikekalkan Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengiringi Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Duli Yang Teramat Mulia (DYTM), Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang meninjau persiapan skuad Red Giants.

Mengulas berkenaan suasana penjualan tiket yang suram, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut membantu meningkatkan kadar penjualan menerusi hebahan umun selain mengagihkan tiket untuk dijual kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membawa penyokong memenuhi stadium.

Katanya, perlawanan yang berlangsung selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, pada harga RM50 di samping jadual perlawanan suku akhir Piala Dunia Rusia 2018 yang membabitkan pertembungan Sweden dan England, malam esok menjadi antara faktor ia kurang mendapat sambutan.


Pengarang :