SELANGOR

Si comel peneman hidup, sanggup berhabis ribuan ringgit sebulan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 JUL: Biarpun berhabis hampir ribuan ringgit saban bulan, namun kesemua pecinta kucing ini tidak langsung mengambil pusing hal tersebut.

Bagi Noraffidah Ramli, 41 berkata, kucing adalah haiwan comel yang menjadi penenang hatinya sejak lebih tujuh tahun lalu.

Katanya, dia mempunyai lebih 20 ekor jenis kucing ‘gergasi’ dari baka ‘Maine Coon’.

“Kalau dilihat memang ada yang takut dengan kucing ini, kerana ia begitu besar, namun hakikatnya kucing jenis ini sangat manja,” katanya.

Kucingnya yang dinamakan Bucky itu turut dikenali dalam kalangan selebriti tempatan kerana acapkali dipilih menyertai pengambaran iklan, drama mahupun majalah.

Noraffidah yang juga suri rumah tangga itu memberitahu, hampir setiap bulan dia membelanjakan kira-kira RM500 bagi seekor kucingnya.

“Bucky juga menyertai beberapa pertandingan di peringkat antarabangsa dan juga tempatan, malah ia pernah dinobatkan sebagai ‘Maine Coon’ terbaik di Malaysia,” katanya.

Beliau ditemui SelangorKini ketika Pertandingan Kucing di Hari Kebajikan Haiwan anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor di Dewan Raja Muda Musa.

Sementara itu, bagi jejaka berusia 28 tahun, Ridir Haidir Zolkefle berkata, kucing mampu menghilangkan penat setelah bekerja seharian.

Katanya, hanya dalam tempoh sejam kucingnya mampu membuatkan beliau ketawa dan gembira sepanjang hari.

“Malah pada pandangan saya, kucing ini membuatkan hidup saya lebih positif dan kurang tekanan,” katanya.

Memiliki kucing dari jenis baka ‘Briitish Short Hair’, Ridir Haidir bersama rakannya Razman Ahmad, 36 juga adalah pembekal kucing eksotik buat peminatnya di sini.

Razman berkata, antara kucing yang dibiakkan termasuk ‘Persian’, ‘Excotic Short Hair’, ‘Scottish Fold Longhair’ dan ‘Domestic Long Hair’.

“Sedikit tips untuk orang ramai, jika ingin membela kucing yang dianggap mahal ini, kita perlu belajar terlebih dahulu, kerana ilmu ini penting bagi membolehkan kucing ini sihat sentiasa,” katanya.

Nadiatul Halwani Subry, 41 pula berkata, dia mempunyai lebih 20 ekor kucing di rumahnya.

Katanya, wajah kucing yang comel membuatkan hatinya tertawan untuk terus memelihari haiwan berkenaan.

“Kucing saya turut pernah memenangi pertandingan Anak Kucing Terbaik ketika bertanding di Pameran Kucing di Pulau Pinang,” katanya.


Pengarang :