SELANGOR

Siap sedia hadapi PRK Sungai Kandis

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 JUL: KEADILAN Selangor bersedia menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis, 4 Ogos ini, bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan yang dimenangi dalam PRU14 lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Pakatan Harapan (PAKATAN) pastinya lebih kukuh untuk berdepan cabaran lawan dalam PRK kali ini kerana baru sahaja memenangi pilihan raya umum ke 14 (PRU14) lalu.

“Sebagai sebuah gabungan yang menang pada PRU lalu, PAKATAN seharusnya lebih kuat dan padu untuk PRK Sungai Kandis ini.

“Apa pun bagi saya, kita harus bersedia sama ada dua, tiga penjuru atau satu lawan satu dengan musuh yang bersatu,” katanya kepada media ketika menghadiri Majlis Silaturahim Eidul Fitr Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) di kediaman rasmi Dato” Menteri Besar di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas PRK Sungai Kandis dengan penamaan calon pada 21 Julai termasuk isu ‘musuh yang bersatu’ merujuk cadangan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PAS bagi berdepan PAKATAN dalam PRK berkenaan.

Mengulas lanjut, katanya, KEADILAN Selangor akan mengemukakan senarai calon kepada KEADILAN Pusat untuk memutuskannya.

“Kita telah mendapat maklum balas daripada akar umbi terutamanya Cabang Kota Raja dan saya jangka kita boleh menghantar nama ke Majlis Pimpinan KEDILAN Pusat esok.

“Terdapat lebih daripada satu nama dan kita akan dalam proses perbincangan untuk dikemukakan kepada KEADILAN Pusat untuk diputuskan.

“Saya hanya mencadangkan senarai calon dan segala keputusan terpulang kepada KEADILAN Pusat,” katanya menjangka senarai terbabit akan dikemukakan esok.

PRK Sungai Kandis diadakan ekoran kematian penyandangnya, Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.


Pengarang :