SELANGOR

Siasatan lanjut polis kes bayi mati cedera di kepala

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 JUL: Polis mengenal pasti punca kematian bayi lelaki, Adam Rayqal Mohd Sufi, lima bulan di rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves, semalam, akibat kecederaan di bahagian kepala.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata hasil bedah siasat dijalankan mendapati terdapat kesan retak di tempurung kepala sebelah kiri mangsa dan pendarahan di bahagian kanan otaknya.

“Berdasarkan laporan diterima, kita masih menjalankan siasatan susulan berkaitannya sama ada bayi ini dipukul, diseksa atau terjatuh ketika di dalam jagaan suspek.

“Setakat ini, kita tidak menemui sebarang senjata tetapi siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya kepada media.

Beliau berkata, bedah siasat dijalankan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada kira-kira jam 9.40 pagi hingga jam 1 tengah hari.

Katanya, polis akan menjalankan siatan lanjut berhubung kes berkaitan berdasarkan laporan bedah siasat itu.

“Ia turut menafikan laporan sebelumnya bayi berkenaan tersedak susu.

“Pada hari kejadian, suspek juga mengasuh dua lagi bayi lain tetapi telah diserahkan kepada keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata, siasatan menyeluruh akan dijalankan polis termasuk motif pembunuhan membabitkan mangsa.


Pengarang :