Selangorkini
SUKANKINI

Silap besar Zlatan Ibrahimovic cabar David Beckham

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 8 JUL: Karakter ego yang dipamerkan bekas pemain kebangsaan Sweden, Zlatan Ibrahimovic terhadap bekas ketua pasukan England, David Beckham di laman Instagram sebelum perlawanan suku akhir Piala Dunia 2018 memakan diri apabila Sweden tewas 0-2 kepada England semalam.

Ibrahimovic menerusi akaun @iamzlatanibrahimovic mencabar Beckham untuk membelikan apa sahaja barangan yang dimahukan beliau di pusat membeli belah IKEA Sweden jika pasukannya menang sementara beliau bersedia membelikan makan malam buat Beckham di mana sahaja di dunia jika keputusan memihak The Three Lions.

Cabaran itu nyata disambut Beckham yang meninggalkan pesanan balas menerusi akaun @davidbeckham di laman Instagram milik pemain LA Galaxy itu sambil diiringi dengan emotikon ketawa.

“Zlatan, jika Sweden menang saya secara peribadi akan membawa kamu ke IKEA Sweden dan membelikan apa sahaja keperluan untuk kediaman baru di LA (Los Angeles) Galaxy.

“Tetapi jika England menang, saya mahu kamu datang menyaksikan perlawanan England di (stadium) Wembley memakai baju England dan menikmati ‘fish and chips’ pada separuh masa,” katanya.

Ibrahimovic memberikan persetujuan terhadap cabaran balas Beckham di Insta-Story.

‘Perang’ tersebut menarik perhatian IKEA Sweden yang memberikan maklum balas positif menerusi akaun @ikeasverige.

IKEA Sweden menyatakan kesediaan untuk belanja hidangan set medium bebola daging yang menjadi hidangan simbolik pusat membeli belah itu ketika Ibrahimovic membawa Beckham selepas Sweden menang ke atas England.

Tetapi kemenangan suku akhir semalam menyaksikan kemaraan pertama England ke separuh akhir selepas 28 tahun apabila menang hasil dua jaringan setiap babak menerusi Hary Maguire dan Dele Alli di setiap babak.

Keputusan itu pastinya memberikan tamparan hebat buat Ibrahimovic yang terpaksa menunaikan janjinya terhadap Beckham dengan memakai baju England di Stadium Wembley.

 


Pengarang :