SELANGOR

Skuad Jejak Kemiskinan LZS selusuri golongan memerlukan

KUALA SELANGOR, 25 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjalankan program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) di sekitar Kuala Selangor Selatan, berpusat di Masjid Darussalam, Bukit Kuching Hilir, di sini, semalam.

LZS menerusi Facebook berkata, pihaknya bekerjasama dengan Sekolah Kebangsaan Dato’ Maharajalela, bagi mendapatkan senarai nama cadangan dalam kalangan penjaga pelajar sekolah terbabit.

Katanya, seramai 108 nama penjaga diterima dengan 58 daripadanya sudah berdaftar dengan LZS sebagai asnaf fakir dan miskin.

“Keseluruhan empat kariah yang terbabit dalam program ini ialah Kampung Bukit Cherakah, Kampung Bukit Hijau, Kampung Bukit Kuching Tengah dan Kampung Bukit Kuching Hilir.

“Keputusan SJK ini mendapati seramai 30 keluarga layak didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin.

“Kesemua mereka akan disantuni dengan bantuan yang layak diberi mengikut keperluan semasa,” katanya.

Pada masa sama, LZS berharap bantuan disalurkan itu dapat meringankan beban dipikul mereka.


Pengarang :