NASIONAL

Sokong cadangan hasil tenaga daripada bahan buangan

OLEH NADIAH ZAMLUS

TANJUNG SEPAT, 15 JUL: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyambut baik cadangan bagi menghasilkan tenaga menggunakan bahan buangan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, KPKT telah melakukan pelbagai kaedah untuk menguruskan bahan buangan agar mendatangkan impak yang paling minimum terhadap alam sekitar.

“Justeru cadangan untuk menghasilkan tenaga dengan bahan buangan ini adalah satu cadangan yang amat baik.

“Dengan perancangan sedia ada, KPKT akan berusaha untuk mengurangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan sampah dan mengambil inisiatif menggunakan teknologi terbaru seperti menggubah bahan buangan kepada tenaga, teknologi bio mass dan juga teknologi bio ‘digester’,” katanya kepada media.

Zuraida berkata demikian bagi mengulas kenyataan Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar berhubung pihaknya bersedia bekerjasama dalam projek pengurusan sisa bagi menghasilkan tenaga di negara ini.

Antara negara yang menggunakan kaedah tenaga daripada sisa termasuk Jepun, Denmark dan Singapura.

=EZY=


Pengarang :