SELANGOR

SPR benarkan bahan kempen pamer gambar pimpinan parti komponen

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 JUL: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan calon mempamer dan mengedarkan bahan kempen yang mengandungi gambar pemimpin parti dan pemimpin parti komponen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis.

Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, peraturan itu dibenarkan kali ini walaupun tidak dibenarkan pada PRU-14 lalu.

Menurutnya, satu Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) ditubuhkan bagi memantau aktiviti berkempen selaras dengan peruntukkan undang-undang di bawah Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Apa-apa bahan kempen yang boleh digunakan seperti iklan, surat sebaran, pelekat dan poster hendaklah mengandungi nama, alamat pencetak dan penerbit kecuali bendera, poster simbol parti dan gambar pemimpin parti atau calon bertanding.

“PP-KPR boleh menurunkan bahan kempen berunsur negatif atau melanggar peruntukkan undang-undang pilihan raya.

“Bahan kempen mengandungi perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat atau boleh mendatangkan permusuhan adalah tidak dibenarkan,” katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon selesai.

Katanya, tempoh rasmi berkempen bermula hari ini sehingga jam 11.59 malam, 3 Ogos 2018 dan setiap ceramah perlu mendapatkan permit polis dan polis berkuasa mengambil tindakan bagi aktiviti ceramah yang dijalankan tanpa permit.

Pada PRK kali ini, SPR melantik 69 pemerhati pilihan raya yang terdiri daripada SUHAKAM, BERSIH 2.0, ENGAGE, Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kelab Pemimir Nasional.

Othman berkata, SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi untuk PRK kali ini sekitar 80 peratus dan keputusan dijangka diumumkan pada jam 10.00 malam.


Pengarang :