NASIONAL

SPR setuju tambah pemerhati Bersih 2.0 bagi PRK DUN Sungai Kandis

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 14 JUL: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersetuju untuk menambah jumlah pemerhati bagi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, pada 4 Ogos akan datang.

Jurucakap Bersih 2.0 berkata, perkara tersebut diputuskan ketika pertemuan tertutup diantara Bersih 2.0 dan juga SPR di Putrajaya baru-baru ini.

“SPR telah bersetuju untuk menambah bilangan pemerhati Bersih 2.0 seramai 38 orang, untuk makluman SPR juga telah menggariskan terma-terma rujukan dan beberapa kod etika bagi pemerhati pilihan raya Sungai Kandis kali ini setelah diminta oleh Bersih 2.0 melalui surat rasmi.

“Permohonan bagi peserta untuk menjadi pemerhati PRK kali ini akan ditutup pada 16 Julai 2018, sementara latihan akan diadakan pada 18 dan 19 Julai 2018,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini Bersih 2.0 memaklumkan PRK Sungai Kandis adalah sebagai penanda aras terhadap perjalanan pilihan raya di bawah kerajaan baru Pakatan Harapan (PAKATAN).

Pemangku Pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari berkata, PRK pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) itu bakal mempengaruhi perjalanan PRU dan PRK lain selepas ini.

Katanya lagi, PRK Sungai Kandis menjadi model pilihan raya selepas ini dan Bersih 2.0 berharap supaya tiada penyelewengan berlaku seperti mana banyak berlaku pada PRU14 lalu seperti penyalahgunaan jentera kerajaan dan lain-lain.

=EZY=

 


Pengarang :