SELANGOR

SPR tambah saluran, 6 pemerhati pastikan PRK lancar

SHAH ALAM, 21 JUL: Bagi memudahkan pengundi melunaskan tanggungjawab memilih, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menambah 21 saluran baharu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis, pada 4 Ogos nanti.

Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood menjelaskan, pendekata menambah 88 saluran sedia ada kepada 109 saluran itu bertujuan mengelakkan kesesakan berlaku dan tidak mahu beratur terlalu panjang selain membuka 19 pusat mengundi.

“SPR juga memanjangkan tempoh masa kepada jam 8 pagi sehingga 5.30 petang berbanding sebelum ini jam 8 pagi sehingga 5 petang. Tambahan masa 30 minit ini juga untuk memudahkan pengundi.

“Enam badan bukan kerajaan (NGO) juga dipanggil sebagai pemerhati dalam urusan PRK kali ini bagi memastikan perjalanan PRK kali ini berjalan lancar dan telus.

“Seramai 69 pemerhati antaranya terdiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Bersih 2.0, Persatuan Orang Kota Bahru Kuala Lumpur dan Selangor dan Kelab Pemikir Politik Nasional,” katanya lapor portal Sinar Harian.


Pengarang :