NASIONAL

SST vs GST: Pemimpin Umno bercanggah?

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR,19 JULAI: Pemimpin pembangkang turut mengakui Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mengutip lebih banyak wang daripada poket rakyat, berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sebelum ini, Ahli Parlimen Rembau, Mohd Khairy Jamaluddin menerusi Twitter mencadangkan Kerajaan menurunkan kadar GST ke paras sama dengan SST.

“Kenyataan Yang Berhormat Rembau jelas bercanggah dengan kenyataan Yang Berhormat Pekan bahawa SST lebih membebankan daripada GST.

“Jelas sekali satu-satunya pihak yang mempolitikkan isu ini adalah Umno,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Guan Eng berkata, ini membuktikan dalam Umno sendiri terdapat dua pendapat bercanggah dengan satu pihak memburukkan dasar kerajaan Pakatan Harapan, manakala satu pihak lagi mengakui SST adalah kutipan cukai lebih rendah kepada rakyat.

Katanya, Kementerian Kewangan sebelum ini terkejut apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Umno mengeluarkan kenyataan mengelirukan dengan mendakwa rakyat akan terbeban jika GST dimansuhkan dan SST diperkenalkan semula.

“SST yang kita perkenalkan nanti adalah sistem percukaian yang ditambahbaik berbanding dahulu,” katanya.


Pengarang :