AGAMA SELANGOR

Sultan Selangor solat jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BUKIT JELUTONG, 27 JUL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama-sama rakyat menunaikan solat Jumaat, di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, di sini.

Baginda tiba di masjid itu, pada jam 12.45 tengah hari dan turut disambut Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang mengiringi baginda dan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Solat Jumaat itu dipimpin Imam Syuhud Razalli dengan khutbah Jumaat bertajuk: Mempertahankan Negara Tuntutan Agama

Pengisian khutbah tertumpu kepada tanggungjawab bersama dalam memelihara semangat kepahlawanan, menyusun langkah, mengatur perpaduan bangsa dan membangun kecemerlangan negara.

Khatib turut mengingatkan supaya umat Islam perlu mempersiapkan diri dengan iman yang mantap, semangat yang sentiasa berkobar-kobar dalam menyempurnakan amanah sebagai perwira.

Selain itu, seluruh umat Islam sewajarnya mendoakan barisan pahlawan negara, baik yang sudah syahid atau kembali menghadap Ilahi dengan iringan doa supaya roh mereka mendapat rahmat dan keampunan.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin turut berkenan mencemar duli meluangkan masa bersalaman dengan jemaah sebelum meninggalkan perkarangan masjid sekitar jam 2.30 petang.


Pengarang :