BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Sharafuddin berangkat ke Istiadat Meletak Kalungan Bunga sempena Hari Pahlawan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 31 JUL: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan berangkat ke Istiadat Meletak Kalungan Bunga sempena Hari Pahlawan.

Istiadat dimulakan dengan Lagu Negeri Selangor yang dimainkan sebaik sahaja keberangkatan tiba baginda, kira-kira jam 8.30 pagi.

Baginda kemudiannya menerima hormat diraja dan seterusnya memeriksa Kawalan Kehormat Utama.

Baginda yang diiringi Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, kemudiannya berangkat untuk memulakan Istiadat Meletak Kalungan Bunga.

Selepas itu tiupan ‘last post’ dimainkan diikuti deklamasi puisi oleh ASP Pathu Rahman dan ASP Norashikin dengan diiringi lagu Pahlawanku.

Serentak itu, baginda meletak kalungan bunga diikuti Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Amirudin.

Turut meletakkan kalungan bunga, Panglima 11 Briged, Ketua Polis Negeri Selangor, Yang Dipertua Persatuan Vateran Angkatan Tentera Malaysia Selangor dan Pengerusi Persatuan Bekas Anggota Polis Malaysia.

Istiadat meletak kalungan bunga itu diakhiri dengan tiupan ‘rouse’ sebelum baginda berangkat untuk membalas Hormat Diraja Kawalan Kehormatan Utama.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, baginda turut berkenan menandatangani buku pelawat.


Pengarang :