AGAMAPENDIDIKANSELANGOR

Tahfiz: Tak timbul isu tutup bahkan diperkasakan lagi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 JUL: Di sebalik suara sumbang kononnya ada hasrat untuk menutup sekolah tahfiz namun sebaliknya di Selangor institusi terbabit semakin diperkasakan lagi.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim berkata, antara langkah diambil JAIS dengan mewujudkan garis panduan untuk dipenuhi oleh semua pengusaha sekolah tahfiz di negeri itu.

“Kita di peringkat akhir menyediakan piawaian garis panduan yang dipatuhi semua sekolah tahfiz swasta dan dalam masa terdekat setelah kita berbincang dengan beberapa pihak seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Bomba, pejabat kesihatan dan sebagainya kita akan melengkapkan garis panduan yang perlu diikuti semua pengusaha sekolah tahfiz.

“Jika mereka patuhi garis panduan ini barulah kita benarkan mereka terus beroperasi. Garis panduan ini akan siap dalam tempoh terdekat sebulan dua ini,” katanya di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Agensi Agama Islam Selangor di Perkarangan Bangunan Sultan Idris Shah di sini, hari ini.

Haris berkata, kira-kira 400 sekolah tahfiz berdaftar di bawah JAIS dijangka tidak menghadapi masalah untuk memenuhi garis panduan ditetapkan.

Haris berkata, beliau menganggarkan lebih 80 peratus sekolah tahfiz yang berdafar ini mampu memenuhi garis panduan ditetapkan tetapi kebanyakkan mereka perlu menyelesaikan isu dokumentasi sahaja.

“Sekolah tahfiz yang gagal mematuhi garis panduan terutama yang membahayakan pelajar dan guru kita arahkan supaya ditutup. Kita akan jalankan pemutihan dan pelajar sekolah terlibat akan diserapkan ke sekolah tahfiz sedia ada,” katanya.

Sebelum ini, sekolah tahfiz sering dikaitkan dengan isu tidak mematuhi piawaian binaan bangunan sekaligus meletakkan pelajar dan guru sekolah terbabit terdedah dengan pelbagai risiko khususnya kajadian kebakaran.

 


Pengarang :