SELANGOR

Taman Tasik Seri Gombak dinaik taraf berwajah baru

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 15 JUL: Taman Tasik Seri Gombak bakal berwajah baru selepas kerja naik taraf mula dijalankan tidak lama sahaja lagi.

Perkara itu diumumkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari pada Majlis Rumah Terbuka dan Pelancaran Anak Muda Gombak (AMG) yang diadakan di Taman Tasik Seri Gombak, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, kerja naik taraf masih dalam perbincangan Kerajaan Negeri bersama pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

“Namun, MPS sudah membuat satu fasa untuk tasik ini dijadikan sebagai kawasan riadah dan mengikut perancangan akan diadakan kawasan joging yang tidak terlalu besar juga tidak terlalu kecil.

“Hasil perbincangan ia dijangka siap dan sudah boleh digunakan dengan sempurna mulai tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran AMG dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Hilman Idham.

Sementara itu, mengulas mengenai peruntukan, Amirudin berkata, ia masih dalam sesi perbincangan.

“Bagaimanapun, kita akan berusaha menaik taraf tasik ini dengan pelbagai prasarana dan kemudahan riadah serta kehijauan flora fauna supaya dapat membina sebuah masyarakat yang sihat juga produktif,” katanya.

 


Pengarang :