NASIONAL

Tawaran bina RMM: “Hanya MB Selangor beri jawapan”

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUCHONG, 25 JULAI: Hanya Selangor melalui Dato’ Menteri Besarnya, Amirudin Shari memberi jawapan terhadap tawaran membina rumah mampu milik oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di atas tanah disediakan Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau akan menghantar surat secara rasmi berkenaan tawaran itu kepada semua Kerajaan Negeri, termasuk negeri yang bukan diterajui Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Saya hanya dapat respon daripada Menteri Besar Selangor sahaja, yang lain tidak respon. Mungkin mereka tidak dengar berita berkenaan kenyataan saya itu.

“Kami berikan tawaran sama kepada Kerajaan Negeri di bawah pembangkang dengan prinsip Kerajaan PAKATAN tidak membezakan kerana kita mahu membina dan memajukan rakyat, bukannya memajukan parti politik atau pemerintah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media lawatan tapak projek kompleks rekreasi khas untuk wanita, di Bandar Bukit Puchong, di sini, hari ini.

Zuraida berkata, setiap Menteri Besar wajar mempertimbangkan tawaran itu bagi membantu usaha KPKT memastikan harga rumah mampu milik berada, pada paras sewajarnya.

“Saya juga memastikan tanah itu mesti ada sistem sokongan jalan dan infrastruktur kerana kita tidak mahu mereka yang membeli rumah mendapati kawasan berkenaan tiada sekolah, bas atau pekerjaan,” katanya.


Pengarang :