BERITA UTAMASELANGOR

Tengku Permaisuri berkenan rasmi Asean Songket Festival 2018

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyempurnakan perasmian ASEAN Songket Festival 2018 (ASF), di Management and Science University (MSU), di sini.

Penganjuran ASF 2018 itu turut mencipta rekod baru Malaysia Book of Record (MBR), iaitu ‘The Largest Number of People Wearing Or Having Songket Elements As Part of Their Dressing’.

Ia sekali gus menjadikan MSU berjaya mencatatkan lebih 30 pencapaian dan menjadi institusi pengajian tinggi paling banyak tersenarai dalam MBR.

Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab. Yajid berkata, ASF 2018 yang dianjurkan bermula 18 hingga 21 Julai ITU mengetengahkan seni songket membabitkan Thailand, Brunei dan Indonesia.

“Malaysia adalah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan seni warisan.

“Salah satu daripada pakaian tradisional atau busana yang menjadi warisan budaya Malaysia ialah songket yang merupakan lambang kepada keunikan etnik Melayu.

“Songket dan warisan ini mempunyai nilai penting dan saya percaya ASF 2018 berjaya mencapai objektif untuk melihat keunikan ini dihargai setiap lapisan masyarakat,” katanya dalam sembah ucapannya, di sini.

Mohd Shukri berkata, bertemakan ‘Apresiasi Songket’, ia diadakan sebagai usaha memberikan pendedahan kepada komuniti berkenaan kepentingan menghargai songket sebagai warisan negara yang ditonjolkan menerusi pakaian, kraftangan dan budaya.

Katanya, ia juga selari inisiatif universiti untuk melahirkan graduan kompeten, holistik dan versatil dengan penerapan budaya kecemerlangan.

“Penyertaan pelajar dalam program ini adalah sumbangan mereka bagi memperkasakan seni songket kepada komuniti kampus dan masyarakat supaya terus relevan penggunaannya sepanjang masa,” katanya.

Pelbagai aktiviti turut diadakan sepanjang empat hari penganjurannya antaranya larian 5km International Songket Run, pertandingan lipatan sampin dan tengkolok, 3 On 3 soccer songket, Mr & Mrs Songket MSU, Motive Design dan choral speaking.

 


Pengarang :